PUTRAJAYA – Siasatan perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan Datuk Afdlin Shauki dijangka siap pada minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketika ini, siasatan sedang dijalankan audit dalaman DBKL.
Katanya, sekiranya Afdlin menafikan tuduhan tersebut itu hak beliau, namun daripada sudut tata kelola jabatan kita kena melaksanakan perkara sepatutnya.
“Kita sedang jalankan siasatan dan saya masih menunggu hasil siasatan sekiranya terkait maka kita akan ambil tindakan seterusnya.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berkenaan kes itu seperti saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa kita pegang,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya di Taman Botani di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Afdlin menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL.
Selain itu, DBKL turut menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Zaliha berkata, beliau tidak memberi tempoh untuk menyiapkan siasatan itu, namun menjangkakan akan siap minggu depan.
Katanya,siasatan itu akan melibatkan semua pihak termasuk memanggil Afdlin untuk memberi keterangan.
“Saya berharap DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melaksanakan siasatan ini sebaik mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE