PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa nilai ihsan, kasih sayang, dan perpaduan perlu terus menjadi pegangan dalam usaha membangunkan negara secara menyeluruh.
Menerusi hantaran di platform X sempena Hari Wilayah Persekutuan, Anwar berkata, keharmonian dan perpaduan harus sentiasa diutamakan dalam memastikan kestabilan negara.
“Ruh ihsan yang senantiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama.
“Dalam mengejar arus pembangunan, keharmonian dan perpaduan perlu diutamakan dan tidak dilupakan bagi membentuk kestabilan pentadbiran negara,” katanya pada hantaran itu hari ini.
Menurut beliau, konsep Madani yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan menuntut setiap rakyat menggenggam erat tali permuafakatan demi menjayakan agenda kemajuan negara, bukan hanya untuk masa kini, tetapi juga buat generasi akan datang.
“Selamat menyambut ulang tahun buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Moga kesatuan dan kebersamaan yang ada ini terus berkekalan dengan hendak-Nya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE