fbpx

‘Plot twist’ kisah Along, Afreena boleh jadi drama TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kisah rumah tangga Along dan isterinya, Afreena menjadi sorotan ramai sejak minggu lalu.

SEJAK dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tahanan polis awal minggu ini, banyak perkara yang terjadi melibatkan pelawak Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42.

Bermula dengan aksi sujud syukur di kandang tertuduh, menangis dan berpelukan dengan rakan selebriti, Didie Alias di luar mahkamah, sehinggalah kenyataannya yang ingin menghasilkan filem tentang kisah hidupnya, semua itu bersambung dengan kes lebih kompleks. 

Kata Along, tempoh sebulan berada di dalam Penjara Sungai Buloh  membuka mata dan mencuci  hatinya. Dia bersedia untuk menceritakan tentang apa yang berlaku melalui sebuah filem yang akan dihasilkan kelak.

“Ramai orang gembira dan bertepuk tangan bila saya masuk penjara. Tetapi saya akan jadi lebih kuat dan tak akan lemah dengan ujian yang dihadapi. 

“Saya mahu membersihkan nama dan akan terbitkan filem tentang kisah hidup saya sendiri. Cepat atau lambat nantikan sahaja,” katanya. 

Namun yang paling mengejutkan ramai adalah apabila pelakon filem Adnan Sempit itu telah memfailkan cerai dan pengesahan taklik sehari selepas dia dilepaskan. 

Situasi ini boleh diibaratkan sebagai ‘plot twist’ kerana isterinya, Afeena Suhaimi sebelum ini dilihat lantang mempertahankannya sejak dia ditahan polis. 

Menurut Along, tujuan  dia memfailkan perceraian kerana isterinya didakwa telah melanggar tiga perjanjian taklik. Antara taklik yang dilanggar Afreena adalah tidak patuh dan membelakangkan suami. 

“Saya tahu perkara ini  memang mengejutkan semua pihak. Ibarat ‘plot twist’ dalam drama. Dia melanggar taklik pada tahun lepas. 

“Sepatutnya saya memfailkan lafaz cerai taklik tersebut pada 16 Disember lalu tetapi malangnya saya telah ditahan pada 14 Disember atas dakwaan memiliki dadah. 

Tutup mulut

“Buat masa sekarang saya tak boleh nak cerita panjang sebab semua belum selesai. Tetapi ini adalah langkah pertama yang saya ambil selepas keluar daripada penjara,” ujarnya.

Lebih parah apabila Along mendakwa isterinya turut mengumpul dana bantuan sewaktu dia berada di dalam penjara yang berjumlah hampir RM100,000. Namun wang itu tidak digunakan untuk membantunya.

“Duit dana itu tidak sampai kepada pihak saya. Duit yang digunakan untuk ikat jamin juga adalah daripada ibu saya, ahli keluarga dan Didie Alias. Dia kata nak guna duit itu untuk perbelanjaan anak lelaki saya tetapi sepanjang saya ditahan anak saya dijaga oleh Didie Alias,” jelasnya.

Sementara itu, Afreena berkata, dia tidak boleh mengulas lanjut tentang semua tuduhan Along terhadapnya. 

“Saya tak akan bercakap buruk tentang Along. Biarlah dia nak cakap apa sekalipun. 

“Berdosa untuk saya bercakap tentangnya. Apa-apa pun saya bersyukur dapat suami seperti Along,” katanya. 

Pendedahan mengejutkan ini sudah mula menjadi perdebatan netizen apabila masing-masing sudah mula bergelar detektif tidak berbayar dengan teori-teori tersendiri.

Apa yang pasti kes ini pasti akan terus menjadi perhatian kerana selain melibatkan masalah dalaman rumah tangga, ia turut membabitkan kes dadah dan penyalahgunaan wang dana sumbangan orang ramai. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI