TERENGGANU FC (TFC) turun ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan misi mustahil menterbalikkan defisit empat gol diperolehi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia petang ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali mengakui di atas kertas, peluang skuad Sang Penyu untuk mengulangi pencapaian musim lalu mara ke pentas final hampir sifar peratus.
“Memang payah untuk bangkit apabila ketinggalan empat gol apatah lagi bermain di SSI yang merupakan stadium keramat JDT.
“Pasukan lawan juga merupakan skuad yang sempurna di setiap posisi selain juara bertahan Piala Malaysia,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Begitupun, Badrul Afzan berkata, ia tidak bermakna skuad kendaliannya sudah berputus asa kerana menganggap tiada yang mustahil dalam bola sepak.
Beliau berkata, aksi Liga Super pada Sabtu lalu membuktikan anak buahnya mampu menyaingi skuad Harimau Selatan.
“Kami cuba tidak bernasib baik akur tewas 0-1 ekoran ketumpulan penyudah. Kelemahan itu cuba diatasi dalam sesi latihan namun kami sedar kebangkitan luar biasa menuntut disiplin tinggi,” katanya.
Badrul Afzan berkata, sedikit rombakan akan dilakukan sewaktu bertandang ke SSI berikutan masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan beberapa pemainnya.
Beliau berkata, antara pemain yang kemungkinan tidak dapat diturunkan ialah Rahadiazli Rahalim, Ismaheel Akinade, Argzim Redzovic dan Akram Mahinan.
TFC yang juga naib juara Piala Malaysia musim lalu tewas 0-4 dengan JDT pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di gelanggang sendiri pada 17 Januari lalu.