ALOR SETAR – “Kami akan cuba buat yang terbaik, bergantung kepada apa yang kami ada”
Demikian kata-kata ketua jurulatih sementara Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Darul Aman, malam ini.
MenurutVictor, ketika ini seramai sembilan pemain bawah 23 tahun telah dipanggil menjalani latihan bersama skuad utama setelah Sang Kenari berdepan isu kecederaan selain tindakan beberapa pemain yang berhijrah ke pasukan lain, sebelum ini.
“Setakat ini beberapa pemain utama termasuk Syafiq Ahmad, Fayadh Zulkifli dan Halim Shaari masih mengalami kecederaan dan dijangka tidak dapat memulakan aksi sebagai kesebelasan utama.
“Maka kami sudah memanggil sembilan pemain bawah 23 tahun bagi mengisi kekosongan ditinggalkan. Begitu pun, kami tetap akan melakukan yang terbaik kerana pemain-pemain ini tampak sentiasa mahu membuktikan sesuatu apabila diberi peluang menjalani latihan dan beraksi,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim.
Mengulas lanjut, Victor menuntut barisan pemain menunjukkan karakter yang betul bagi membolehkan mereka layak ke final pada tahun ini.
“Kita sudah sampai ke separuh akhir dan sentiasa mengharapkan yang terbaik. Saya harap kita dapat mengambil peluang ini untuk setidak-tidaknya, dapat mencapai sesuatu pada tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE