PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya mengakui dirinya berada dalam fasa malas untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki yang dijodohkan dengannya ketika ini.
Menurut Zara atau nama penuhnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, fasa awal perkenalan termasuk topik perbualan asas antara yang membuatkan dirinya enggan mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki.
“Bila ada orang nak jodohkan kita tapi kita dalam fasa malas.
“Malas nak kenal, malas nak ambil tahu kegemaran, kerja apa dan tinggal di mana.
“Kemudian kita nak buat apa ya? Menyorok sajalah,” katanya dalam Thread baru-baru ini.
Dalam ruangan komen, netizen berpendapat bintang drama Risik Pada Hati itu berasakan perkara tersebut kerana belum bertemu dengan individu yang mampu membuka hatinya.
“Mungkin awak belum jumpa orang yang tepat dan disebabkan itu perasaan nak kenal tiada.
“Cuba Zara beri ruang pada diri sendiri untuk berkenalan. Kenal dulu, mungkin hati akan terbuka,” nasihat netizen
Tidak kurang juga ada netizen yang mengakui turut berasa perkara sama seperti Zara.
Terdahulu, Zara pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon, Hafreez Adam pada 12 Oktober 2019.
Jodoh tidak kesampaian, selepas sebulan, Hafreez mengesahkan hubungannya dengan Zara sudah berakhir.
Sementara pada tahun 2023, Zara mengakui mudah tersinggung apabila terlalu kerap berdepan soalan tentang perkahwinan daripada orang ramai.
Disebabkan perkara itu, dia menjauhkan diri daripada orang ramai kerana enggan terus dihakimi berkaitan hal peribadi. – KOSMO! ONLINE