KUANTAN – Akibat takut ditangkap ‘polis’ seorang mahasiswa bertindak menyerahkan barang kemas dan wang tunai milik ibunya selepas diperdaya ‘scammer’ yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat e-dagang dan pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 23 Januari lalu selepas mangsa yang berumur 20 tahun menerima panggilan telefon daripada pihak mendakwa sebagai wakil syarikat e-dagang yang menyatakan mangsa mengiklankan barangan menyalahi undang-undang.
“Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada ‘pegawai polis’ dan suspek memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram.
“Suspek meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan membersihkan rekod mangsa daripada kes jenayah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa kemudiannya telah membuat pemindahan wang sebanyak RM47,000 ke tiga akaun berbeza.
Katanya, pada 30 Januari lalu mangsa juga diarahkan untuk menyerahkan barang kemas milik ibunya bernilai kira-kira RM100,000 kepada seorang perempuan yang tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya.
“Mangsa mula menyedari ditipu apabila ibu mangsa mempersoalkan kehilangan barang kemas dan kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE