BUCHAREST – Di sebalik publisiti kurang baik ekoran isu prestasi tidak konsisten setakat musim ini, Manchester United kini berhak untuk memasang cita-cita julang trofi Liga Europa musim ini.
Pada aksi awal pagi semalam, The Red Devils berjaya mengekalkan aksi tanpa kalah dalam pusingan awal selepas menewaskan FC Steaua Bucharest (FCSB) 2-0 sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik.
“Dari segi cara permainan, saya tidak lihat sebarang perbezaan di mana kali ini kami mempunyai masa untuk berfikir dan kita juga boleh lihat pergerakan serta idea menarik yang dilakukan oleh pemain.
“Kami boleh harungi satu demi satu perlawanan dan memenangi pertandingan ini. Tidak kira apa juga konteksnya, Manchester United perlu berjuang untuk memenangi piala.
“Apabila kami berada di peringkat ini, apa saja boleh berlaku dan pemain boleh membuktikan yang mereka mampu catatkan kemenangan ke atas mana-mana pasukan,” kata Pengurus United, Ruben Amorim.
Kedua-dua gol The Red Devils disumbangkan oleh Diogo Dalot dan Kobbie Mainoo sekaligus merubah tanggapan terhadap Amorim yang kini sudah pun memacu pasukan raih tiga kemenangan berturut-turut termasuk mengatasi Fulham 1-0 dalam saingan domestik, Isnin lalu.
“Adalah penting untuk kami adalah masa bagi menjalani latihan, cipta keserasian antara semua orang dalam kelab ini. Penting untuk kami ada masa untuk melaksanakan idea dan membolehkan saya memahami pemain dengan lebih baik,” jelasnya. – AGENSI