BERBANDING wanita yang ada ‘tarikh luput’ atau menopause tidak lagi mampu melahirkan zuriat untuk pasangannya, lelaki pula berbeza.
Selagi sihat tubuh badan dan tiada masalah kesihatan berkaitan kesuburan, ada lelaki lanjut usia masih menyambut kelahiran anak baharu ketika usia
emas, syaratnya ada suri yang sentiasa manja di sisi.
Kata orang, ibarat santan kelapa tua, makin tua makin banyak santannya, lelaki yang masih mampu mempunyai zuriat ketika lewat usia sering dianggap hebat bahkan mungkin dilihat sebagai lelaki sejati.
Berikut senarai selebriti terkenal
yang dipuja dan mengejutkan ramai apabila masih kembali mendengar tangis bayi walhal melepas tangga jubli emas.
- Rod Stewart
Tidak lama selepas menjadi datuk, penyanyi rock Rod Stewart bersama isteri, Penny Lancaster menimang cahaya mata sulung dan yang kelapan untuk penyanyi itu pada usia 66 tahun.
Anak bongsunya yang diberi nama Aiden lahir pada 2011 ketika isterinya berusia 39 tahun.
Kembali menjadi bapa pada usia lanjut Stewart berkata, dia akan berusaha menjaga kesihatan demi melihat anaknya membesar.
“Menjadi bapa pada usia tua saya mungkin hanya dapat melihat anak membesar sekurang-kurang selama 25 tahun.
“Oleh itu, saya akan gunakan masa yang ada sebaiknya untuk mendidik dan mencipta memori manis bersamanya,” kata Stewart.
- Mick Jagger
Vokalis band terkenal Rolling Stone, Mick Jagger menimang anak kelapan, Devereaux pada usia 73 tahun.
Devereaux Octavian Basil Jagger yang lahir pada 2016 adalah zuriat pertama hasil hubungannya dengan bekas penari balet, Melanie Hamrick. Menurut Jagger disebabkan dia telah memiliki tujuh cahaya mata sebelum ini, mendidik dan membesarkan anak bongsunya lebih mudah.
“Saya gembira dengan kelahiran anak bongsu, malah saya lebih relaks kerana ada banyak pengalaman sebelum ini,” katanya.
- Robert De Niro
BINTANG filem The Godfather, Robert De Niro menyambut kelahiran anak ketujuhnya yang diberi nama Gia Virginia Chen De Niro pada 6 April tahun lalu pada usia 79 tahun. Gia adalah buah hati pertama aktor berkenaan dengan Tiffany Chen. De Niro gembira dengan kelahiran Gia dan mahu anaknya membesar dengan menguasai dua bahasa iaitu English dan Mandarin mengikut budaya sebelah isterinya.
“Anak-anak saya semua telah dewasa, cucu saya juga sudah masuk usia remaja tetapi ibu saudara mereka iaitu Gia masih bayi. Apapun semua sayangkan Gia,” ujar De Niro dalam temu bual bersama People.
- Datuk Jamal Abdillah
Raja pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menimang cahaya mata ketujuh pada 7 Januari lalu ketika usianya 66 tahun. Beliau menamakan anaknya Magdalena Yamani. Bayi itu merupakan zuriat kelima penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir itu dengan isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 29. Mereka sebelum ini dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2. Jamal juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 22 dan Ahmad Zaki Yamani, 18.
- Al Pacino
MENGEJUTKAN banyak pihak, aktor terkenal Hollywood Al Pacino yang menimang cahaya mata keempatnya pada usia 83 tahun.
Anak yang dinamakan Roman Pacino dilahirkan pada Jun 2023 merupakan anak pertama bersama bekas kekasihnya, Noor Alfallah yang ketika itu berusia 29 tahun.
Pacino juga mempunyai tiga orang anak yang sudah dewasa iaitu Julie Marie dan sang kembar, Anton dan Olivia.
- Datuk Awie
Vokalis kumpulan Wings yang juga pelakon, Datuk Awie menimang cahaya mata ketujuh yang diberi nama Arjuna pada Julai tahun lalu ketika berusia 56 tahun.
Pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman itu bersyukur diberi rezeki anak pada usia dianggap tua. Menerusi perkahwinan pertama dengan bekas isteri juga penyanyi, Arni Nazira, dikurniakan dua anak perempuan iaitu Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, yang kini menuntut di universiti.
Awie kemudian berkahwin dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, namun bercerai pada 1 November 2014. Mereka dikurniakan tiga anak, Putra Ahmad Merrah, 17, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Puteri Qasseh Antasha, 14.
Pelakon filem Hantu Kak Limah ini dipertemukan jodoh kali ketiga dengan Sharifah Ladyana pada 7 Oktober 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki pada 2020 dan tahun lalu.