fbpx

4,300 pelajar, 212 guru terlibat sekolah SRBJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aznan (empat dari kiri) bergambar bersama sebahagian penerima Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seramai lebih 4,300 orang pelajar dan 212 guru akan terlibat dalam fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang akan bermula sebaik sesi persekolahan dibuka pada 17 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, projek rintis itu memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.

Justeru, katanya, untuk SRBJ ini, pelajar terlibat akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.

“Sebagai persediaan, seramai 212 guru sekolah rendah dan menengah terlibat telah dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura untuk latihan dan bengkel sebagai persediaan pembukaan sekolah rintis pada pertengahan bulan ini.

“Kita mahu semua 212 guru memperoleh sijil mengikut piawaian antarabangsa, Common European Framework of Reference For Language (CEFR). Mereka ini menjadi tulang belakang SRBJ,” katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini hari ini.

Projek SRBJ ini di peringkat permulaan membabitkan dua sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara serta dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Sekolah rintis ini akan diberi keutamaan dari segi menaik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan edaran semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI