ALOR GAJAH – Perjalanan pulang ke rumah berakhir tragedi apabila seorang wanita maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah trak tentera di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.24 pagi itu, Manisya Azlin, 25, maut di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu seorang diri kereta jenis Proton Saga sedang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menuju ke rumahnya di Masjid Tanah sementara trak tentera dari Nibong Tebal, Pulau Pinang menghala ke Kem Terendak.
“Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai mengantuk dan kereta dipandunya telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan trak tentera dari arah hadapan. Terdapat cubaan untuk memberhentikan kenderaan berdasarkan kesan tayar sepanjang 12 meter.
“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat pendarahan di kepala manakala pemandu trak tentera berusia 33 tahun mengalami patah tangan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Empat lagi anggota tentera yang berada di dalam trak tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Azrul, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas selekoh di jalan satu lorong dua hala.
“Semua kenderaan terlibat telah ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan teknikal. Polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE