WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump meningkatkan operasi penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di bandar-bandar utama sekitar Amerika Syarikat (AS) sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan mereka yang masih bebas, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Sejak Trump mengangkat sumpah jawatan ada 20 Januari lalu, beribu-ribu PATI termasuk penjenayah dan mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah ditangkap, manakala serbuan turut diadakan di bandar raya besar termasuk Chicago, New York, Denver dan Los Angeles.
Susulan operasi penangkapan itu, sebahagian pendatang haram enggan keluar bekerja dan tidak membenarkan anak-anak mereka pergi ke sekolah sebagai cara untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.
Menurut statistik harian yang diterbitkan oleh Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), lebih 3,500 PATI telah ditangkap sejak Trump kembali menjadi Presiden AS buat penggal kedua.
Seramai lebih 1,000 orang ditangkap Selasa lalu, Isnin sebanyak 969 orang dan 1,179 orang pada hari Ahad.
Pengarah Eksekutif Pusat Amica untuk Hak-hak Imigran, Michael Lukens berkata, pendatang asing kini takut untuk pergi bekerja atau menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Itulah sebenarnya yang dimahukan oleh White House iaitu untuk menimbulkan ketakutan kepada orang ramai (PATI) dan membuat mereka pergi (meninggalkan AS),” katanya.
Antara mereka yang menyatakan ketakutan itu ialah Gabriela. Dia merupakan seorang pendatang dari Bolivia yang memasuki AS lebih 20 tahun lalu dengan bersembunyi di bawah timbunan jagung ketika menyeludup masuk ke negara tersebut.
Gabriela berkata, dia dan jiran-jirannya menjadi semakin takut untuk keluar rumah selepas mendapati ICE melakukan operasi di komuniti berdekatan.
Sementara itu, Trump turut berikrar berikrar untuk menghantar 30,000 PATI yang melakukan jenayah paling teruk ke penjara Teluk Guantanamo milik AS di Cuba. – AGENSI