SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang mengesahkan sindiket penyeludupan senjata api yang berjaya ditumpaskan Isnin lalu dipercayai untuk dijual kepada kumpulan kongsi gelap di negeri ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Ahmad walau bagaimanapun berkata, siasatan lanjut berhubung sindiket itu masih dijalankan.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang menyusun soal siasat dengan begitu rapi untuk memastikan elemen-elemen siasatan mencakupi ataupun lengkap dari semua aspek.
“Suspek terdiri empat lelaki masih dalam tempoh reman dan kita sekarang sedang menyusun untuk melengkapkan sekali gus merangkumi radius siasatan lebih besar lagi.
“Kita giat mengesan rangkaian selain ‘establish’ beberapa keterangan yang dirasakan perlu diketengahkan dalam siasatan tersebut.
“Sebahagian rangkaian kongsi gelap kita sudah kenal pasti dari negara kita dan negara jiran,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung penahanan empat lelaki dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, dekat sini, 28 Januari lalu. -KOSMO! ONLINE