ENGGAN karya agung legasi keluarga terkubur begitu sahaja selain mahu melakar sejarah baharu untuk generasi masa kini.
Itulah hasrat murni yang teguh berpasak pada jasad penyanyi Dasha Logan, anak kepada vokalis legenda Alleycats, mendiang Datuk Loganathan Arumugam dan anak saudara kepada Datuk David Arumugam.
Album mini berjudul Legasi menjadi tanda penghormatan Dasha kepada kumpulan ikonik tersebut, sekali gus usaha untuk menyuntik nafas baharu kepada lima karya malar segar Alleycats.
Projek peribadi tersebut bukan sahaja mencerminkan cintanya terhadap seni muzik tetapi juga harapannya agar karya emas Alleycats terus hidup dalam jiwa generasi muda.
Inspirasi
Terlalu dekat malah sudah sebati dalam jiwa, wanita berusia 38 tahun itu tidak mampu menahan sebak ketika berkongsi kisah pembikinan album tersebut yang mengambil masa lima tahun untuk direalisasikan.
Baginya, album itu adalah dedikasi penuh kasih buat mendiang bapanya dan David yang kini kurang sihat.
“Mendiang bapa dan bapa saudara menjadi inspirasi terbesar. Sejak kecil, saya membesar dengan lagu Alleycats. Jadi, projek ini adalah cara saya menghargai karya mereka.
“Terima kasih kepada MyCreative Ventures atas sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) yang diberikan, serta keluarga dan sahabat yang tidak pernah berhenti percaya kepada impian saya.
“Ibu adalah penyokong terkuat saya. Sejak kali pertama saya menyanyi pada usia lima tahun, dia sentiasa ada untuk saya,” katanya kepada HibGlam.
Lebih menarik, diskografi tersebut adalah kolaborasi istimewa si cantik itu bersama bapa saudaranya, Datuk David Arumugam, yang sentiasa memberikan galakan sejak idea itu dilontarkan.
“Lagu-lagu ini sangat dekat di hati, namun saya mahu memberi nafas baharu agar lebih relevan dengan pendengar hari ini tanpa menjejaskan nilai asli karya asal.
“Saya mengambil masa lama untuk bertemu dengan pasukan tepat. Harapan saya mahu menghargai legasi muzik Alleycats, menghidupkan semula lagu yang kian dilupai,
“Versi asal sudah semestinya lebih baik, tetapi saya hanya mahu membawa bunyian segar tanpa mengubah jiwa lagu-lagu ini,” jelasnya.
Terbitan Rozhan Razman dengan susunan muzik oleh Melina Williams, album tersebut memuatkan lima lagu ikonik Alleycats seperti Jika Kau Bercinta Lagi, Senandung Semalam, Seribu Bintang, Andainya Aku Pergi Dulu dan Sampaikan Salam Cintaku.
Dasha juga berharap album berkenaan dapat mendekatkan semula generasi baharu kepada Alleycats, selain menyentuh hati peminat yang selama ini membesar dengan karya tersebut.
Momen berharga
Tambah penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu, pengalaman bekerja bersama David banyak membuka matanya tentang seni muzik.
Baginya, setiap momen bersama bapa saudara tersayang itu dalam studio adalah kenangan berharga yang tidak dapat dilupakan.
“Ini kali pertama saya merakamkan lagu bersama bapa saudara. Sebelum ini, mendiang bapa dan bapa saudara selalu memberi nasihat yang sama, nyanyilah dari hati.
“Pada mulanya, saya tidak faham maknanya, tetapi selepas mendengar Andainya Aku Pergi Dulu dinyanyikan secara langsung oleh mereka, saya mula memahami erti sebenar kata-kata itu,” tuturnya.
David, walaupun kesihatannya tidak memuaskan, tetap hadir pada majlis pelancaran album itu untuk memberi sokongan kepada anak saudaranya.
Paling penting kata pelantun lagu Leave Your Man itu, David adalah individu pertama yang mendengar hasratnya untuk memberi nafas baharu kepada karya klasik Alleycats.
“Ketika saya meluahkan hasrat ini di rumah ibu saudara, dia hanya memberikan isyarat tangan tanda setuju. Baginya, apa sahaja yang saya buat, pastikan dilakukan dengan baik,” tutupnya.
Album Legasi kini boleh didengarkan di platform penstriman, sementara video muzik Jika Kau Bercinta Lagi, dengan penampilan istimewa David, bakal dilancarkan tidak lama lagi.