SEPANG – Pihak polis sehingga kini masih belum dapat mengesan lelaki yang menampar isterinya menerusi video tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah dapat menghubungi isteri individu berkenaan, namun wanita itu enggan memberi kerjasama.
“Kami belum dapat mengesan lelaki itu dan wanita itu juga enggan bagi kerjasama untuk mengesan suaminya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pihaknya tidak pasti kenapa wanita itu enggan bagi kerjasama dan berkemungkinan tidak mahu suaminya berdepan tindakan.
Sebelum ini, tular rakaman video seorang lelaki menampar isterinya di sebuah pasar raya sehingga menimbulkan kecaman di media sosial. – KOSMO! ONLINE