KLUANG – Mayat lelaki yang ditemui berhampiran sebuah motosikal berwarna hitam di Blok 19B, Ladang Sayong Plantation Sdn Bhd di Kahang pada minggu lalu dikenal pasti sebagai Lee Siew Hat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, keputusan pemeriksaan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mayat berkenaan yang dihantar ke Jabatan Kimia di Johor Bahru dan Shah Alam, Selangor diterima hari ini mengesahkan si mati adalah sama butiran dengan Orang Hilang yang dilaporkan pada 15 Januari lalu.
Katanya, hasil bedah siasat pada 24 Januari lalu dan keputusan DNA telah mengesahkan mayat adalah milik Lee Siew Hat, 73.
“Dengan adanya keputusan itu, mayat akan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan selanjutnya dan kes kematian dikategorikan sebagai mati mengejut,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Siew Hat, 73, yang tinggal di Taman Kahang Baru, Kahang dilaporkan hilang bersama motosikal ditunggangnya selepas memasuki kebun kelapa sawitnya di Batu 17, Jalan Kluang – Kluang pada 15 Januari.
Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) kemudiannya ditubuhkan pada 16 Januari sebelum ditutup pada 20 Januari selepas lima hari usaha mencari dijalankan.
Pada 23 Januari, seorang warga asing yang bekerja memotong buah kelapa sawit di Blok 19B, Ladang Sayong Plantation Sdn Bhd di Kahang menemui mayat seorang lelaki berhampiran sebuah motosikal yang bersabit dengan kehilangan lelaki warga emas itu.
Proses bedah siasat kematian dilakukan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang pada 24 Januari dan sampel DNA mayat dirujuk ke Jabatan Kimia untuk mengenal pasti identiti mangsa.-KOSMO! ONLINE