IPOH – Malaysia perlu berbaik dengan semua negara tanpa menyebelahi mana-mana kuasa besar baik China atau Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Perdana Menteri, rakyat jangan terperangkap dengan dakwaan kononnya negara akan diserahkan kepada kuasa besar seperti China.
Tegasnya, hubungan baik dengan negara seperti China perlu dimanfaatkan kerana negara itu telah mencapai kemajuan teknologi moden termasuk menghasilkan kecerdasan buatan (AI) berjenama DeepSeek yang mengejutkan pesaing dunia.
“Jangan kita terperangkap dengan pemikiran lama dengan hanya bergantung kepada satu negara. Kita perlu baik dengan semua negara.
“Kalau negara itu ada masalah dengan negara China, itu masalah dia,” katanya semasa berucap dalam majlis perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau sendiri akan terus mengadakan pertemuan pemimpin termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang akan berkunjung ke Malaysia pada Februari ini. – KOSMO! ONLINE