PETALING JAYA – Malaysia bersama lapan negara lain menyertai satu persidangan di The Hague, Belanda bagi membincangkan komitmen bersama dalam menegakkan undang-undang antarabangsa.
Persidangan itu juga turut akan membincangan cara menangani ancaman terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mempertahankan hak rakyat Palestin.
Lapan negara lain yang menyertai persidangan itu termasuklah Belize, Bolivia, Chile, Colombia, Honduras, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan.
Menerusi mesyuarat itu, kumpulan berkenaan dijangka membentuk Kumpulan The Hague dan akan mengumumkan langkah-langkah undang-undang, ekonomi serta diplomatik bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk tindakan berterusannya di Gaza.
Pengumuman itu akan dibuat dalam sidang media pada sebelah petang yang dianjurkan oleh Progressive International, sebuah pertubuhan politik antarabangsa.
Penyelaras Bersama Progressive International, Varsha Gandikota-Nellutla berkata, Kumpulan The Hague lahir daripada keperluan.
“Dalam dunia di mana negara berkuasa bertindak sewenang-wenangnya, kita mesti bersatu mempertahankan prinsip keadilan, kesaksamaan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelanggaran undang-undang oleh Israel bukan sekadar pembunuhan beramai-ramai dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Jelasnya, Israel turut menyerang asas undang-undang antarabangsa yang menjadi tanggungjawab masyarakat dunia untuk mempertahankannya.
Terdahulu, mesyuarat yang dianjurkan oleh Progressive International ini akan menghimpunkan wakil-wakil dari sembilan negara bagi meneroka tindakan bersama di peringkat nasional dan antarabangsa dalam menyokong undang-undang antarabangsa serta hak rakyat Palestin ketika krisis berterusan ini.
Perbincangan ini akan berlandaskan tindakan yang telah diambil oleh negara-negara berkenaan, termasuk keputusan Belize dan Bolivia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Chile pula telah merujuk situasi di Palestin kepada ICC pada Januari 2024 serta menarik balik duta negara itu dari Israel.
Colombia menggantung pembelian senjata dan eksport arang batu ke Israel serta memutuskan hubungan diplomatik.
Honduras pula secara konsisten mengutuk tindakan genosid terhadap rakyat Palestin, manakala Malaysia mengenakan larangan maritim terhadap kapal berkaitan Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara ini dan tidak menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
Namibia pula telah menyekat sebuah kapal yang membawa penghantaran peralatan ketenteraan ke Israel serta mengutuk keputusan Jerman untuk menyokong Israel dalam kes genosid yang dibawa oleh Afrika Selatan sambil mengimbau kembali sejarah Jerman dalam genosid di Namibia antara 1904 dan 1908.
Senegal, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ousmane Sonko, komited untuk mengambil “tindakan lebih konkrit” dalam menyokong hak rakyat Palestin.
Afrika Selatan telah mengambil langkah bersejarah dengan mengemukakan kes terhadap Israel di ICJ atas pelanggaran Konvensyen Genosid, sekali gus mencipta satu duluan penting dalam undang-undang antarabangsa.-KOSMO! ONLINE