IPOH – Malaysia beri jaminan akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan seorang warga Indonesia terbunuh ditembak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kejadian pada 24 Januari lalu di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan akan dibuat sebaik-baiknya supaya tidak menggugat hubungan sahabat antara Malaysia dan Indonesia.
“Saya beri jaminan, siasatan kita akan cukup rapi dan telus dengan tidak cuba melindungi sesiapa. Saya telah minta laporan siasatan awal disampaikan kepada kedutaan Indonesia,” katanya semasa berucap dalam Jamuan Teh Rakyat Bersama Perdana Menteri sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Hari ini dilaporkan sekumpulan penunjuk perasaan membaling telur ke arah bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai protes terhadap tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam kejadian yang didakwa berlaku berhampiran Pantai Tanjung Rhu, Selangor. – KOSMO! ONLINE