JOHOR BAHRU – Ibu bapa kepada seorang tertuduh yang berada dalam tahanan Pusat Koreksional Johor Bahru di Ulu Choh, Pontian menuntut penjelasan terhadap keadaan yang menimpa anaknya yang terlantar di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hampir dua minggu lalu.
Tertuduh, P. Jagdesshraj, 21, berada dalam kritikal dengan keadaan mata yang bengkak dan lehernya terpaksa ditebuk setelah sukar bernafas.
Bapa kepada tertuduh, S. Pannir, 54, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu anaknya dirujuk ke hospital tanpa pengetahuan keluarga ketika melawat anaknya di Pusat Koreksional Johor Bahru minggu lalu.
Katanya, dia berada hairan mengapa pihak penjara reman tidak memaklumkan kepada keluarga bahawa anaknya telah dihantar ke hospital.
“Sebelum ini, saya kerap mengunjungi anak saya di penjara reman dan setiap kali itu juga dia mengadu sakit leher namun ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Apabila nak melawatnya minggu lalu, saya dimaklumkan dia tidak berada di sana setelah dirujukkan ke hospital. Kenapa perkara ini dirahsiakan daripada pengetahuan kami.
“Saya dan isteri, A. Shanti, 51, amat sedih melihat keadaan kesihatan yang merosot, dia sukar untuk bernafas dan tidak dapat bertutur dengan baik, dia juga hilang selera makan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Untuk rekod, Jagdesshraj ditahan pada 2023 bagi satu kesalahan jenayah berat dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas 14 hari ditahan reman sebelum ditahan semula di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan direman selama 60 hari.-KOSMO! ONLINE