PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru kerajaan dan majikan mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran pekerja dengan menetapkan gaji bermaruah berdasarkan kelayakan akademik serta pengalaman.
Sebagai contoh kata Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, pekerja yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seharusnya mempunyai kadar gaji lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700.
Begitu juga dengan pekerja yang mempunyai sijil kemahiran, diploma dan ijazah yang perlu diberikan gaji yang setimpal dengan kemahiran serta kepakaran mereka.
Ini kerana katanya, pekerja berkenaan tidak sepatutnya dikategorikan dalam kumpulan gaji minimum, kerana akan merendahkan nilai pendidikan dan menjejaskan motivasi tenaga kerja muda untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Sehubungan itu, MTUC menggesa kerajaan untuk memperkenalkan dasar gaji bermaruah yang mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran dalam penetapan struktur gaji.
“Majikan juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan skala gaji yang adil dan kompetitif bagi memastikan pekerja diberi ganjaran sewajarnya mengikut kelayakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Effendy berkata, MTUC ingin menegaskan bahawa gaji minimum bukanlah kadar gaji yang sesuai untuk semua golongan pekerja.
Sebaliknya kata beliau, ia adalah jaringan keselamatan bagi mereka yang tidak mempunyai tahap pendidikan atau kemahiran khusus.
“Oleh itu, kenaikan gaji minimum tidak boleh dianggap sebagai penetapan gaji yang wajar bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik atau kemahiran teknikal.-KOSMO! ONLINE