LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool mendedahkan bahawa mereka tidak berhasrat untuk melepaskan khidmat penggempur utama, Darwin Nunez ketika jendela perpindahan kali ini menghampiri penghujung.
Nunez yang berhijrah dengan nilai perpindahan cukup tinggi dari Benfica ke Anfield mengharungi prestasi yang tidak stabil sejak tiga tahun lalu bersama The Reds dan hanya menjaringkan empat gol sepanjang aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pengendali Liverpool, Arne Slot dilihat lebih gemar menggunakan pilihan pemain lain apabila Nunez hanya berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan itu hanya tiga kali untuk aksi liga.
Legenda Liverpool, Jamie Carragher berpendapat, situasi itu memerlukan kelab berkenaan untuk membuat keputusan melepaskan Nunez untuk memastikan mereka mampu mendapatkan wang hasil penjualannya sebelum nilainya menjunam lebih teruk.
Difahamakan, kelab Liga Arab Saudi, Al-Nassr menyatakan kesediaan untuk menandatangani khidmat Nunez pada jendela perpindahan musim sejuk kali ini, namun Liverpool masih belum bersedia untuk kehilangannya.
Al-Nassr ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat penggempur bagi memantapkan lagi jentera serangan mereka dan turut menyenaraikan penyerang Bayer Leverkusen, Victor Boniface dan pemain Aston Villa, Jhon Duran sebagai sasaran.
Slot dikatakan masih percaya dengan kemampuan Nunez yang mampu memainkan peranan besar pada aksi separuh kedua musim ini dalam usaha mereka memburu kejuaraan EPL selepas selesa muncul pendahulu.
Bagaimanapun, kelab berkenaan tidak menolak untuk membenarkan Nunez berhijrah sekiranya mereka menerima tawaran yang baik pada jendela musim panas nanti. – AGENSI