SEBERANG PERAI – Seorang pegawai perubatan mengalami sesak nafas selepas melakukan rawatan pertolongan cemas terhadap dua pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini semalam akibat terhidu bahan kimia.
Kakitangan lelaki berusia 29 tahun itu bagaimana dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah mendapatkan rawatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku dari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada pukul 5.07 petang semalam.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Sungai Bakap dan Kulim Hi-Tech di Kedah.
“Kita menerima maklumat terdapat seorang doktor mengalami sesak nafas dan sakit tekak setelah membuat rawatan CPR (bantuan pernafasan) ke atas dua pesakit di Wad ICU Hospital Seberang Jaya.
“Dua pesakit lelaki berusia 50-an tersebut dilaporkan telah terhidu bahan kimia ketika menjalankan kerja-kerja pemusnahan serangga (fumigasi) di sebuah premis kilang memproses tepung di Perai kelmarin.
“Pihak bomba dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan sekiranya terdapat bahan tercemar di lokasi wad tersebut semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, tindakan pihaknya adalah dengan membuat “size up” termasuk melakukan pemeriksaan kandungan udara dengan menggunakan peralatan Gas Meter (GFG) di sekitar kawasan ICU dan wad berhampiran.
“Bacaan kandungan udara berada pada tahap normal. Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan dengan menggunakan dua unit peralatan GASMET di sekitar kawasan ICU, pakaian dan dan saluran pernafasan pesakit.
“Penilaian di lokasi terbabit dalam keadaan selamat dan operasi tersebut tamat pada pukul 10.23 malam tadi,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE