KUALA TERENGGANU – Pemeriksaan forensik terhadap 34 serpihan tulang yang dijumpai di Pantai Batu Burok 2 di sini sebentar tadi mengesahkan ia bukan rangka manusia.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesimpulan itu dibuat selepas pemeriksaan dilakukan Pakar Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Siti Wira Md. Yaro.
“Pakar forensik HSNZ tersebut selesai melakukan bedah siasat terhadap tulang-tulang tersebut pada pukul 11 pagi tadi.
“Ia disahkan bukan tulang manusia berdasarkan bentuk, ketebalan dan panjangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, setakat ini, tulang-tulang tersebut dipercayai milik haiwan yang agak mirip dengan kuda.
Beliau berkata, sampel tulang tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan selanjutnya.
Terdahulu pengunjung Pantai Batu Burok 2 di sini gempar dengan penemuan serpihan tulang yag pada mulanya disangka rangka manusia.
Penemuan serpihan tulang terbabit di dalam kawasan semak berhampiran longkang di belakang sebuah kuarters agensi kerajaan yang tidak berpenghuni dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 10.10 malam. – KOSMO! ONLINE