IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas mereka yang memperlekehkan langkah Malaysia mahu membantu Gaza dan beliau berkata sikap sedemikian bukan cara Islam.
Anwar melahirkan rasa kecewa apabila usaha itu disindir sedangkan bumi Gaza dan Palestin telah melalui malapetaka paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.
“Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu berkata sekolah kita pun tak selesai nak tolong orang lain. Ini perasaan hati manusia bagaimana ini?
“Kita tolong orang kampung lain, boleh kata kampung kamu (masalah) pun belum selesai. Dalam Islam tidak pernah fikir begitu,” katanya semasa berucap semasa Majlis Kenduri Rakyat di luar pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru di sini hari ini.
Kelmarin Anwar berkata Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin susulan pengumuman gencatan senjata di Gaza.
Bagaimanapun komitmen itu dipersoalkan oleh beberapa individu termasuk bekas pemimpin tertinggi yang menyarankan kerajaan memberi keutamaan menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE