PETALING JAYA – Seorang lelaki kesal apabila pagar batu di rumahnya runtuh dipercayai dilanggar oleh pemandu Perodua Alza yang dikatakan melarikan diri, dalam kejadian di sebuah perumahan di Chengal Lempong, Kuantan, Pahang.
Hantaran gambar pagar runtuh berserta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian itu dimuat naik pemilik rumah tersebut menerusi TikTok Abdul Wahaba dan dia kesal apabila pemandu itu dikatakan tidak berjumpa dengannya.
“Pemandu Alza ni semasa ‘reverse’ melanggar pagar rumah saya. Dia lari macam itu saja sebab saya tak ada di rumah masa ni.
“Jika dia tahu bersalah, baik segera jumpa saya. Saya ada saja di rumah atau tinggal nombor telefon, saya akan hubungi,” katanya pada hantaran itu semalam.
Dia turut berkongsi rakaman CCTV kereta Perodua Alza berkenaan, namun nombor pendaftarannya tidak dapat dilihat dengan jelas
“Alza langgar pagar rumah saya dirakam oleh jiran saya, tapi tak nampak jelas nombor pendaftaran. Harap pemandu datang segera jumpa saya untuk selesaikan pagar runtuh dilanggar,” katanya.
Hantaran itu turut mendapati simpati orang ramai yang berharap pemandu Perodua Alza itu bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
“RM5,000 juga ni,” ujar seorang pengguna TikTok.
“Saya rasa kalau dia datang minta maaf dan bincang elok-elok mungkin tuan TikTok ini akan permudah urusan dia. Bila lari menunjukkan kita ni tak tahu hukum hakam walaupun kita ni seorang Islam. Benda ni bukan setakat waktu kita hidup saja, akan sampai ke alam sana nanti. Jadi fikir-fikirkan lah,” komen seorang individu.
Komen itu dipersetujui oleh pemilik rumah berkenaan.
“Ya betul tuan. Saya pun belum buat laporan kepada polis. Harap dapat selesaikan secara suci hati,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@abdul.wahaba1Alza langgar pagor umah saya dirakam oleh jiran saya tp xnampak jelas no.daftar Harap pemandu dtg segera jumpa saya utk selesaikan pagar Runtoh dilanggar♬ original sound – Abdul Wahaba