KUALA LUMPUR – Kerjasama syarikat pemula, Robopreneur Sdn. Bhd. (Robopreneur) dengan syarikat robotik terkemuka Jepun iaitu ugo Inc. (ugo) bakal menjadi penyumbang kepada inisiatif Malaysia untuk menjadi salah satu hab pusat data utama di rantau Asia Tenggara.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Robopreneur, Dr. Hanafiah Yusof berkata, kerjasama pihaknya dengan ugo bertepatan dengan trend semasa yang mana wujudnya permintaan yang semakin meningkat terhadap teknologi robot dalam industri untuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, storan data dan juga teknologi yang berkaitan dengan industri itu.
Menurut beliau, melalui usaha itu juga, ia dilihat akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan syarikat kepada tenaga kerja yang kini semakin mencabar dan beralih kepada teknologi robotik untuk mengoperasikan pusat data dengan lebih cekap dan menjimatkan masa.
“Pusat data ini merangkumi peningkatan penembusan internet, e-dagang dan penggunaan perkhidmatan digital, manakala peningkatan (AI), data besar dan pengkomputeran awan mewujudkan permintaan tinggi pada masa sekarang.
“Permintaan untuk perkhidmatan teknologi maklumat (IT) seperti pengurusan rangkaian, keselamatan siber dan analitik data akan meningkat.
“Ini memberi peluang kepada syarikat IT tempatan dan syarikat pemula niaga lebih banyak menggunakan pusat data dan dalam masa yang sama, tenaga robotik amat diperlukan bagi memenuhi peningkatan kapasiti tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian kerjasama antara Robopreneur dengan ugo di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Kerjasama Global ugo Inc, Hadrien Roy.
Mengulas lanjut, Hanafiah menerangkan, ugo akan membekalkan robot yang berfungsi dalam membantu pengoperasian pusat data setiap syarikat dan akses yang akan dikemaskini dari masa ke
semasa.
“Robot dari ugo mempunyai jangka masa dan ketahanan antara lima hingga lapan tahun dan kami juga berperanan menjalankan pemeriksaan serta servis berkala bagi memastikan ia berfungsi dengan baik,” jelasnya.
Selain itu, Roy menerangkan, kerjasama ini merupakan yang pertama syarikat dengan sebuah syarikat pemula di Malaysia kerana faktor persekitaran ekonomi negara yang stabil menyediakan suasana kondusif untuk pelaburan jangka panjang dengan asas industri kukuh dan tenaga kerja mahir untuk menyokong pertumbuhan industri pusat data.
“Malaysia dikenali sebagai hab pusat data terbaik di rantau ini dan kami membekalkan robot dengan capaian teknologi AI yang terkini bagi membantu melancarkan operasi pusat data.
“Kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara menjadikannya hab ideal untuk memenuhi keperluan digital yang semakin meningkat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE