DITEMUI mati dengan tembakan di kepala, bekas peserta program realiti The Voice 2014, Ryan Whyte Maloney dipercayai membunuh diri.
Insiden tragik yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa itu dikatakan berlaku di kediamannya di Nevada, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Pada malam sebelum kejadian,Maloney, 44, sempat berkongsi sebuah video dirinya berapa di pusat hiburan sambil menikmati suasana malam dalam Insta Story.
“Sembilan lelaki Irish yang hebat untuk pesta malam ini. Kami akan tampil memukau,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Berdasarkan perkongsian tersebut, bagai tiada perkara pelik atau tanda-tanda penyanyi merangkap komposer itu mempunyai masalah sehingga sanggup bertindak menembak diri sendiri.
Begitupun, polis mengingatkan mana-mana pihak agar jangan mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, Maloney pertama kali mencuri perhatian ramai ketika tampil dalam musim keenam program realiti popular AS itu sekitar 10 tahun lalu.
Menerusi ‘blind audition’, dia menonjolkan persembahan memukau apabila mampu membuatkan keempat-empat juri memutarkan kerusi mereka sebaik memperdengarkan lagu Lights nyanyian asal Journey dengan sempurna.
Di bawah bimbingan penyanyi Blake Shelton, pemuzik kelahiran Michigan itu berada pada posisi lima teratas sekali gus mara sebagai finalis.
Penggiat seni yang mahir bermain pelbagai alat muzik termasuk biola, dram, cello dan gitar itu juga pernah menganggotai kumpulan Indulge.
Dia kemudian bergerak solo sebagai penyanyi muzik Country dan menghasilkan album serta beberapa lagu popular seperti Hillbilly dan Michigan Moonlight. – KOSMO! ONLINE