KAJANG – Pasangan suami isteri ditahan disyaki mendera anak perempuan kandung berusia tujuh tahun hingga maut, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan dari Hospital Kajang berhubung perkara itu pukul. 1.11 pagi.
“Pihak hospital memaklumkan mangsa yang dibawa oleh ibu bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri telah meninggal dunia di wad kecemasan Zon Merah di Hospital Kajang.
“Hasil bedah siasat pada 12.30 tengah hari semalam menemukan banyak tanda kesan dera lama dan baru pada fizikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 38 dan 40 tahun ditahan untuk permohonan reman di Mahkamah Kajang hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.