PETALING JAYA – “Ada tiket nak ke Klang dok, segera. Isteri saya kemalangan meninggal, anak-anak semua dekat ICU,” itu rayuan seorang lelaki yang mahu mendapatkan tiket bas dari Besut, Terengganu ke Klang, Selangor.
Menerusi hantaran video pada TikTok kakakbusteng, wanita itu menceritakan lelaki itu datang ke kaunter pada pukul 4.20 petang, namun bas terakhir pada sebelah siang telah bergerak pukul 3.30 petang.
“Paling awal pun malam ni pukul 8.30 malam. Bas petang semua dah gerak,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Menjawab pertanyaan orang ramai, kakitangan syarikat bas itu menceritakan, lelaki itu datang ke kaunter dalam keadaan menggigil dan menangis untuk membeli tiket bas.
“Kasihan dia datang dengan gigil lagi sambil menangis tanya tiket. Dia baru sampai Besut sebab datang ‘ride’ (motosikal). Ada orang telefon cakap isteri dia meninggal dunia kemalangan.
“Anak-anak dekat ICU (unit rawatan rapi). Bas petang akhir pukul 3.30 petang. Dia baru sampai Besut ‘ride’ dengan kawan-kawan.
“Dia datang dengan motosikal kawan rasanya dia cerita. Sebab tu segera nak balik naik bas. Terbaharu abang tu naik bas pukul 8.30 malam (tadi), alhamdulillah,” katanya yang turut mendoakan lelaki tersebut selain dipermudah segala urusannya.
Ia mendapat pelbagai maklum balas termasuk ada yang menawarkan khidmat membantunya untuk pulang ke Klang selain berkongsi pengalaman sama.
“Bagilah naik Grab biar saya bayar tambang. Sedihnya,” komen seorang pengguna TikTok.
“30 November lalu kami sekeluarga lalui kejadian begini. Datang Pantai Timur hantar anak belajar, dalam perjalanan balik dapat khabar abah meninggal waktu maghrib. Dari pagi cari jalan keluar tapi tak lepas, sana sini banjir,” kata seorang pengguna yang lain.
“Macam ni lah saya lalui masa arwah suami meninggal di Perlis, saya di Selangor. Tak ada siapa nak hantar ke Perlis, saya balik malam naik bas. Tak apa lah, biar keluarga arwah suani yang uruskan. Cuma saya tak dapat cium arwah,” cerita seorang wanita.
Selain ada yang memberikan panduan iaitu minta pertolongan daripada pemandu lori untuk sesiapa berdepan kecemasan mendapatkan pengangkutan awam segera.
“Jika terjadi perkara kecemasan macam ni tak ada bas, cari pemandu lori. Minta bantuan sebab mereka ada ‘group’ yang boleh bawakan kepada pemandu lain untuk bantu, tapi kecemasan sahaja.
“Insya-Allah kalau perkara penting macam ni tak kira bangsa mahupun agama, dia orang akan bantu. Paling tak, mereka akan bawakan dalam ‘group’ untuk minta bantuan segera yang mungkin,” kata seorang individu. – KOSMO! ONLINE