PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa simpati terhadap ribuan mangsa di Sabah dan Sarawak susulan situasi banjir yang semakin buruk di kedua-dua negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kebajikan serta keselamatan penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.
“Saya juga mengarahkan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri.
“Keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan,” katanya hari ini.
Anwar turut memaklumkan, Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa Skuad Ihsan Madani akan turun padang bagi membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE