WASHINGTON – Usaha mencari diteruskan di Sungai Potomac selepas sebuah pesawat membawa 60 penumpang dan empat anak kapal bertembung di udara dengan helikopter Black Hawk milik tentera Amerika Syarikat (AS), lapor saluran berita CBS News.
Helikopter tersebut membawa tiga askar AS, manakala nahas berlaku berhampiran Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan di Washington, D.C.
Sekurang-kurangnya 28 mayat telah ditemukan.
Ketua Bomba Washington, John Donnelly berkata, 27 mayat ditemukan dari pesawat itu dan satu dari helikopter tersebut, lapor agensi berita AFP.
Pesawat American Eagle Penerbangan 5342 itu berlepas dari Wichita, Kansas, dan sedang menghampiri untuk mendarat apabila perlanggaran berlaku.
Pesawat Bombardier CRJ700 itu dikendalikan oleh anak syarikat American Airlines, PSA Airlines.
Sementara itu, helikopter terbabit ketika kejadian sedang melakukan penerbangan latihan dengan membawa tiga anggota tentera dan berpangkalan di Fort Belvoir, Virginia.
Ketika usaha pencarian mangsa yang mungkin terselamat diteruskan semalaman, mayat mangsa dan serpihan pesawat ditemukan di Sungai Potomac sebelah Virginia, lapor wartawan CBS News, Kris Van Cleave.
Dia berkata, pesawat itu terputus kepada beberapa bahagian yang terapung di dalam air sedalam 1.5 meter hingga 2.4 meter. – AFP/AGENSI