MILAN – Ketua Pereka Aston Martin, Adrian Newey meluahkan kebimbangan terhadap perubahan besar dalam peraturan Formula Satu (F1) musim 2026 yang berpotensi menjadikan sukan itu didominasi oleh formula enjin.
Musim 2026 bakal menyaksikan perubahan serentak terhadap peraturan unit kuasa dan casis, menandakan transformasi besar dalam sejarah sukan tersebut dan buat kali pertama kali, ia dirangka berdasarkan keperluan enjin meskipun reka bentuk 1.6 liter V6 dikekalkan.
Antara perubahan utama ialah penghapusan komponen MGU-H, penekanan elektrifikasi yang lebih tinggi serta penggunaan bahan api sintetik untuk kelestarian.
Pendekatan itu bertujuan mewujudkan keseimbangan kuasa antara enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kuasa elektrik pada nisbah hampir 50:50, seiring dengan sasaran F1 mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2030.
Peraturan baharu tersebut turut memperkenalkan kereta dengan aerodinamik aktif, termasuk mod ‘X’ dan ‘Z’, bagi mengoptimumkan daya turun (downforce) dan mengurangkan seretan di laluan lurus.
Namun, kebimbangan timbul jika salah satu pengeluar enjin memahami peraturan itu dengan lebih baik dalam usaha mencipta kelebihan besar berbanding pesaing lain.
“Saya tidak ingat ada masa lain dalam F1 apabila peraturan casis dan enjin berubah serentak. Kali ini, peraturan casis ditulis untuk menyesuaikan diri dengan peraturan unit kuasa, menambah dimensi baharu dalam cabaran ini,” kata Newey.
Newey yang kecewa bersama Red Bull akibat kekurangan kuasa enjin Renault antara 2014 dan 2018, bimbang sejarah mungkin berulang dan jika satu reka bentuk enjin ICE terbukti jauh lebih berkesan, ia berpotensi mencetuskan dominasi pengeluar tertentu selama bertahun-tahun.
“Pengeluar enjin kini lebih berhati-hati selepas melihat dominasi Mercedes akibat persediaan awal mereka sebelum perubahan peraturan dahulu.
“Tetapi tetap ada risiko salah satu pengeluar akan mendominasi, menjadikan peraturan baharu ini terarah kepada unit kuasa, sekurang-kurangnya pada permulaan,” tambahnya.