HANOI – Seorang wanita di Bandar Da Nang, Vietnam terpaksa meminta bantuan pekerja-pekerja pembersihan untuk mencari cincin berlian miliknya bernilai 1 bilion dong (RM175,000) yang dibuang secara tidak sengaja, lapor laman berita VNExpress semalam.
Chau Thi My Hoa membuang beberapa barangan yang tidak digunakan termasuk cincin itu.
Dia hanya menyedari perkara tersebut selepas membersihkan rumahnya.
Chau kemudian bergegas ke tapak pelupusan sampah dan meminta pekerja membantunya mencari cincin tersebut.
Walaupun pekerja sudah ‘letih’ dengan kemasukan jumlah sampah yang besar, mereka bersetuju untuk membantu Chau mendapatkan semula barang kemas tersebut kerana nilainya yang tinggi.
Mereka memunggah 11 tan sampah dari trak dan mencari cincin itu.
“Ajaibnya, seorang pekerja, Lam Minh Hai ternampak kotak barang kemas itu di sebalik sampah,” kata Pengarah Perusahaan Pengurusan dan Rawatan Sisa, Mai Xuan Phuoc.
Cincin tersebut dikembalikan kepada Chau yang mengucapkan terima kasih dan menawarkan sokongan kewangan kepada pekerja-pekerja terlibat kerana membantunya.
Syarikat tersebut bagaimanapun menolak tawaran wanita itu. – AGENSI