ROM – Kira-kira 10,000 pelancong tiba di samping 260 buah bas secara serentak di resort ski Roccaraso di pergunungan Apennine, Itali, Ahad lalu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Mereka dilaporkan terpengaruh dengan promosi seorang pesohor TikTok untuk pergi ke pusat peranginan tersebut selepas mendapatkan tawaran percutian murah serendah €20 (RM90) sehari daripada sebuah agensi pelancongan.
Rita De Crescenzo sebelum itu melawat resort tersebut pada minggu lalu dan mempromosikannya di platform TikTok miliknya.
Namun, apa yang digambarkan sebagai ‘perjalanan sehari mampu milik untuk seisi keluarga’ bertukar menjadi situasi panik apabila laluan menuju ke pergunungan itu dipenuhi dengan bas dan kereta serta ramai yang terkandas.
“Malangnya, situasi menjadi buruk kerana tiada siapa menjangkakan begitu ramai pelancong akan datang.
Mutu perkhidmatan turut menjadi buruk di beberapa lokasi, bermula dengan restoran,” kata seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Gaia.
Berikutan kebanjiran pelancong, sampah sarap berselerakan sehingga mencetuskan kemarahan penduduk tempatan termasuk peniaga di kawasan tersebut. – AGENSI