JAKARTA – Seorang nenek memberanikan diri dengan melawan seekor buaya selepas dia terjatuh dari perahunya ketika mencari siput dan sejenis tumbuhan air di Teluk Rumbia, wilayah Aceh, lapor laman berita Radio Republik Indonesia (RRI) semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Kaetek, 59, bagaimanapun kehilangan sejumlah wang tunai dan beberapa barangan kemas miliknya yang hanyut dibawa arus sungai.
Kaetek berkata, selepas mengutip sejumlah siput kecil, dia berhasrat mencari tumbuhan air itu.
“Ketika saya menghulurkan tangan ke dalam air, saya diterkam buaya lalu terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
Kaetek kemudian bertarung dengan reptilia itu sambil berdoa dia akan selamat dalam serangan tersebut.
“Tiba-tiba datang sebuah bot, menyebabkan buaya itu melepaskan tangan saya,” kata Kaetek.
Warga emas itu kemudian dibantu beberapa penduduk tempatan dan dia dibawa ke pusat kesihatan untuk menerima rawatan akibat kecederaan pada jari dan tangan. – AGENSI