KOTA KINABALU – Bilangan mangsa banjir Sabah terus meningkat apabila seramai 2,714 orang membabitkan 922 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat pukul 11 pagi tadi, sebanyak 10 daerah terjejas melibatkan 10 daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM) memaklumkan sebanyak 21 PPS sudah diaktifkan di semua daerah terjejas banjir dengan Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,467 mangsa daripada 566 keluarga.
“Kota Belud merekodkan seramai 214 orang membabitkan 63 keluarga yang ditempatkan di dua PPS sekali gus daerah kedua paling ramai mangsa banjir. Pitas dan Telupid masing-masing terdapat 196 mangsa melibatkan 68 keluarga dan 195 mangsa daripada 48 keluarga.
“Sementara itu, daerah-daerah lain iaitu Beluran (190 mangsa, 55 keluarga, tiga PPS), Lahad Datu (156 mangsa, 41 keluarga, dua PPS), Sandakan (118 mangsa, 28 keluarga, satu PPS), Beaufort (102 mangsa, 29 keluarga, satu PPS), Tongod (54 mangsa, 13 keluarga, satu PPS) dan Paitan (22 mangsa, 11 keluarga, dua PPS),”menurut portal terbabit.-KOSMO! ONLINE