PETALING JAYA – Gamuda Land melalui penyedia aktiviti santainya, Gamuda Land Play (GL Play) telah menganjurkan Kempen Bloom Boom Pow bersempena sambutan Tahun Baru Cina.
Kempen yang akan berakhir pada 16 Februari ini sedang berlangsung serentak di lima taman ikonik GL Play iaitu SplashMania Waterpark, Discovery Park, Paya Indah Discovery Wetlands, Quayside dan FunPark.
Pengurus Besar Kanan Leisure & Hospitality GL, Liong Ve Lyn berkata, kempen tersebut diadakan untuk meraikan pertumbuhan, keseronokan dan kemakmuran bersama para pengunjung.
“Sempena kempen ini, kami akan menyajikan lebih banyak persembahan Heng Ong Huat yang pasti tidak dapat dilupakan oleh pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini
Sempena kempen Bloom Boom Pow juga, SplashMania Waterpark dan FunPark akan dihiasi dengan bunga sakura yang mekar dan hiasan bertemakan oriental.
Selain itu, Night Splash akan kembali diadakan pada setiap malam Jumaat dan Sabtu sehingga 15 Februari ini di SplashMania Waterpark.
Sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Selangor 2025, GL Play telah mengeluarkan permainan kad edisi terhad yang dikenali sebagai Cuti Go Where.
Menurut Ve Lyn, kad berkenaan direka untuk membawa pemain mengembara di beberapa destinasi utama di Selangor.
“Kad permainan eksklusif ini bertujuan untuk merai dan menyokong pelancongan di Selangor dengan mempromosikan beberapa tempat menarik.
“Kad permainan ini mencabar pemain untuk membina percutian mereka menggunakan kad Attraction dan Character. Permainan ini boleh dimainkan sehingga enam orang pada satu-satu masa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE