KINABATANGAN – Empat sekeluarga terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terperangkap dalam banjir di Jalan Kampung Paris 2 awal pagi hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah malam itu, kesemua mangsa terpaksa menunggu selama lebih dua jam sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada pukul 12.56 tengah malam.
“Bagaimanapun, pasukan penyelamat hanya dapat tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.47 pagi ekoran lokasi terletak kira-kira 40 kilometer selain beberapa jalan turut dilanda banjir.
“Sejurus tiba, anggota bertugas mendapati terdapat sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang hanyutkan arus. Mangsa membabitkan seorang lelaki bersama isteri dan dua kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya membantu mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE