PUTRAJAYA – Umat Islam di Malaysia semakin merasai ‘debaran’ kedatangan Ramadan apabila tarikh 1 Syaaban 1446 secara rasmi bermula sejurus azan maghrib malam ini.
Menurut sumber falak tempatan, hilal atau anak bulan Syaaban dilaporkan gagal dalam memenuhi dua kriteria imkanur rukyah (KIR) semasa senja semalam di seluruh negara.
Ini termasuk lokasi pencerapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang juga menyaksikan altitud atau sudut ketinggian bulan hanya -1 darjah 13 minit.
Data diterbitkan Bahagian Ukur Geodetik, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mencatatkan umur hilal sebagai -1 jam 12 minit serta bulan terbenam pada 7.24 malam.
“Hilal tidak kelihatan lewat petang semalam kerana umur anak bulan itu adalah negatif, manakala ijtimak atau fasa bulan baharu berlaku pukul 8.36 malam.
“Situasi berkenaan memperlihatkan Rejab perlu digenapkan penuh 30 hari dengan bulan Syaaban yang berikutnya pula sebagai akan bermula pada 31 Januari ini,” kata sumber.
Berdasarkan data hisab atau kiraan falak dalam almanak Jupem, KIR di PICC dipenuhi ketika Maghrib pada 30 Januari ini yang menyaksikan umur hilal itu adalah 23 jam 43 minit. – KOSMO! ONLINE