PETALING JAYA – Dituduh mengajar anak menzahirkan luahan tidak sayangkan bapa sendiri, pelakon Fazura berlapang dada berdepan tanggapan negatif segelintir individu.
Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, berkata, dia tidak terkesan dengan fitnah dilemparkan sebaliknya berserah kepada Allah yang membuatkannya sentiasa bersabar.
“Sejujurnya saya tak terkesan langsung sebab saya percaya dengan hukum Allah. Kalau kita berniat baik akan dibalas baik dan kalau niat jahat dibalas jahat.
“Biarlah mereka nak buat apa pun, itu urusan mereka. Paling penting kita kena sentiasa bersabar dan serah segala-galanya kepada Allah.
“Tak mengapa biarlah mereka nak fitnah, Allah nak angkat darjat saya,” katanya pada sesi siaran langsung di laman sosial.
Pada masa sama, bekas isteri kepada aktor Fattah Amin itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang kerap bertanyakan keadaan dirinya.
Malah akui Fazura, dia percaya bahawa semua yang berlaku dalam kehidupannya kini ada hikmah tersendiri.
“Terima kasih semua, jangan langsung rasa sakit hati, jangan risau saya okey dan gembira, tenang.
“Kita sebenarnya zikir nama Allah, tapi mereka nak ‘zikir’ nama Fazura biarlah,” katanya.
Sejak kelmarin tular video anak tunggal Fazura dan Fattah, Nur Fatima Aisya, 4, mengatakan sudah tidak sayangkan bapanya sehingga ramai menyalahkan Fazura dan menuduhnya mengajar anak untuk bercakap begitu.
Fazura bagaimanapun memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan mengenai isu tersebut walaupun ramai pengikutnya meminta dia bersuara.
Terdahulu, pasangan terbabit bercerai talak satu pada 6 Oktober 2024 selepas mahkamah meluluskan permohonan cerai yang difailkan aktres tersebut.
Mahkamah turut memutuskan hak penjagaan Fatima diberikan kepada Fazura, sementara Fattah diberikan hak lawatan tiga kali seminggu dan dibenarkan bermalam dengan anaknya dua kali sebulan. – KOSMO! ONLINE