PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser payudara tahap empat, Chai Pau Chin di Kuantan, Pahang sempena Tahun Baharu Cina.
Sumbangan berupa wang tunai, limau mandarin dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Turut hadir menyerahkan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang.
Ahmad Farhan dalam hantaran di Facebook berkata, sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung dan memberi keceriaan kepada Chai serta keluarganya.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesembuhan dan kekuatan buat beliau dalam menempuh dugaan ini,” katanya pada hantaran itu. – KOSMO! ONLINE