fbpx

Alhamdulillah, anak dah ditemui – Ibu Nurin Hannani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar Malaysia di Jepun, Nurin Hannani dilaporkan hilang sejak Isnin telah ditemui dengan selamat.

PETALING JAYA – Penuntut Malaysia di National Institute of Technology (Kosen) Kure, Hiroshima, Jepun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu, telah ditemui dengan selamat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Noor Afzan Razak, iaitu ibu kepada pelajar tersebut, Nurin Hannani Mohd. Hafizi, 21.

“Alhamdulillah, anak dah ditemui. Tak pasti lagi info seterusnya. Kedutaan bagitahu yang itu sahaja kepada saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Khabar gembira itu turut dimaklumkan oleh bapa pelajar tersebut, Mohd. Hafizi yang dikongsikan di media sosial.

“Dengan penuh rasa syukur dan kelegaan, kami sekeluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam pencarian Nurin Hannani.

“Berkat doa, usaha, dan bantuan daripada keluarga, sahabat, jiran tetangga, pihak berkuasa, serta orang ramai, Nurin Hannani telah selamat ditemui,” katanya.

Katanya, pihak keluarga juga menghargai keprihatinan, kesungguhan, dan sokongan yang diberikan kepada mereka dalam situasi sukar berkenaan.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian semua. Semoga kebaikan yang kalian tunjukkan akan mendapat ganjaran berlipat ganda.

“Terima kasih sekali lagi atas segala bantuan dan doa yang tidak putus-putus. Semoga kita semua dirahmati Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang penuntut Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Kosen Kure, Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Menerusi hantaran dikongsikan oleh Zunita Ramli iaitu seorang rakyat Malaysia di Jepun, pelajar tersebut dikenali sebagai Hannani dipercayai meninggalkan kampusnya pada tengah hari Isnin, namun difahamkan dia belum pulang.

Hannani dilihat meninggalkan tempat penginapan pelajar dengan berpakaian uniform serta membawa beg. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI