fbpx

Trio Musafir Ke Mekah kini di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRIO tiga sahabat yang bermusafir menaiki basikal ke Mekah bagi menunaikan haji disambut wakil Wisma Putra dan pihak berkuasa Thailand di sini semalam.

PADANG BESAR – Perjalanan tiga sahabat yang berkayuh basikal ke Mekah kini memasuki negara jiran, Thailand, selepas merentas jarak kira-kira 675 kilometer (km).

Trio kayuhan yang diketuai Che Saad Nordin, 75, serta Ramli Osman, 72, dan adiknya, Azmi, 56, memulakan kayuhan dari Merlimau, Melaka, pada pertengahan Januari lalu.

Menurut Che Saad, misi kayuhan Musafir Ke Mekah itu dianggarkan mengambil masa lima bulan, dan dia berharap mampu sampai ke Tanah Suci 20 hari sebelum hari wukuf.

“Saya pernah menunaikan haji sebanyak tiga kali dan umrah lima kali. Namun, perasaan rindu dalam hati ini untuk pergi sekali lagi ke Tanah Suci Mekah begitu membuak-buak.

“Jadi, setelah bertemu dua lagi sahabat, kami membuat perancangan selama empat bulan, termasuk pemeriksaan kesihatan, dan Alhamdulillah, kami berjaya sampai ke Perlis hari ini,” katanya ketika ditemui di perbatasan sempadan Malaysia-Thailand di sini, semalam.

Pelepasan kumpulan itu turut diiringi Exco Hubungan Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim, dan disambut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, selain pasukan keselamatan Thailand.

Sebagai rekod, Che Saad pernah melakukan percubaan kayuhan ke Mekah pada tahun 2023, namun terpaksa berpatah balik akibat cuaca sejuk melampau di Pakistan ketika itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI