KUALA LUMPUR – Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Taman Mas 1 Hulu Langat -Bandar Tun Hussein Onn, di sini, terbakar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.40 pagi.
Katanya, seramai 12 anggotanya serta pegawai bersamaa dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn serta Ampang dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres setingkat dan ia musnah 20 peratus. Selain itu terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha yang diparkir di hadapan rumah turut terbakar dan berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit.
“Sepasang warga emas dan masing-masing seorang lelaki serta wanita dewasa berjaya diselamatkan anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, empat sekeluarga itu berusia antara 46 hingga 81 tahun.
“Mangsa mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ampang.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.20 pagi manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE.