PETALING JAYA – Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim meluahkan rasa rindu buat anak perempuannya Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-17.
Pada masa sama, Azrinaz, 46, terharu melihat Ameerah membesar sebagai insan hebat yang seakan-akan mengikuti perwatakan dirinya.
“17 tahun berlalu tetapi rasanya seperti baru semalam.
“Saya menahan sakit merindui awak selama ini, kerinduan yang tidak pernah reda.
“Melihat awak membesar menjadi seorang insan yang luar biasa seperti melihat cerminan diri saya, awak adalah saya dan saya adalah awak,” katanya dalam hantaran Instagram.
Bekas wartawan penyiaran TV3 itu turut berharap puterinya lebih maju ke hadapan selain memuji kecantikan gadis itu.
“Dalam kelas tersendiri, kecantikan awak tidak pernah berhenti memukau saya.
“Terbang tinggi puteri kesayangan. Saya bangga memanggil awak milik saya,” tuturnya.
Azrinaz sebelum ini pernah bergelar menjadi isteri kedua Sultan Brunei pada tahun 2005, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama lima tahun.
Selain Ameerah, Azrinaz mempunyai seorang lagi cahaya mata bersama Sultan Brunei bernama Pengiran Muda Abdul Wakeel, 19.
Azrinaz kembali bergelar isteri kepada Firoz Khan Abdul Hamid yang juga bekas rakan sekerjanya di TV3 pada 1 Mei 2018.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Areesya Malaykha, 6 dan Atheera Medinah, 4. – KOSMO! ONLINE