fbpx

Pokok cengal terbakar sejak Isnin belum padam sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba giat melakukan operasi memadam pokok cengal dipercayai berusia 200 tahun yang terbakar sejak Isnin lepas di Kampung Kedah, Guar Kepayang di Pendang, hari ini.

PENDANG – Penduduk Kampung Kedah, Guar Kepayang di sini tidak lena tidur apabila pokok cengal dipercayai berusia hampir 200 tahun terbakar sejak awal pagi Isnin lalu.

Tinjauan Kosmo! di kampung tersebut hari ini mendapati anggota bomba dan penyelamat giat melakukan operasi pemadaman dan penyejukan di kawasan tersebut termasuk mengawal keadaan bagi mengelak insiden buruk.

Penduduk, Mokhtar Lebai Abdul Rahman, 62, berkata, kebakaran pokok sebesar 10 pemeluk itu dipercayai berlaku  pada pukul 3.30 pagi yang kemudian disedari oleh isteri, Masitah Hassan, 62.

“Kami kemudian menghubungi bomba yang sampai 20 minit kemudian. Api marak dengan cepat dan sampai sekarang api masih ada di dahan atas pokok ini.

“Memandangkan pokok ini terletak di sebelah rumah, bomba nasihatkan kami berpindah ke rumah jiran buat sementara waktu. Penduduk kampung percaya pokok ini sudah berusia lebih 200 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu menurut pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pendang, Pegawai Mohamad Arizal Mahmud, sebanyak 10 anggota ditugaskan melakukan pemadaman kebakaran tersebut.

“Kita melakukan pemadaman dan penyejukan untuk memastikan bara api pokok ini tidak merebak dan pokok tidak tumbang menimpa rumah penduduk. Operasi sukar kerana masalah angin namun kita percaya ia akan tamat dalam tempoh 24 jam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI