KLANG – Seorang lelaki disyaki mabuk bertindak nekad melanggar kon sekatan jalan raya (SJR) polis dan memecut laju keretanya bagi mengelak ditahan di Jalan Langat di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, suspek berusia 30-an yang memandu kereta jenis Honda Civic ditahan selepas dikejar anggota trafik bermotosikal sejauh satu kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula pukul 12 tengah malam.
“Dalam operasi selama empat jam itu, seramai 80 individu dan 100 kenderaan diperiksa selain 50 saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.
“Kesalahan paling tinggi adalah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Polis turut menahan seorang lelaki yang memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam operasi sama katanya, seorang pemandu warga asing dan rakannya yang menaiki kereta Proton Saga serta turut ditahan kerana tiada lesen memandu yang sah dan cukai jalan tambah tempoh.- KOSMO! ONLINE