KEMAMAN – Lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental yang dipukul di Pasar Pagi Padang Astaka, Chukai di sini pada dua minggu lalu dibenarkan keluar dari wad hospital semalam.
Isterinya, Faridah Abdul Karim, 44, berkata, suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau dikenali sebagai Paijang dibenarkan keluar setelah 12 hari dirawat di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
“Alhamdulillah, keadaan suami saya kembali sihat dan telah dibenarkan keluar dari hospital petang semalam.
“Suami bertambah ceria namun mengadu rasa sakit sedikit pada bahagian tulang rusuk. Masa dirawat, dia tidak mengadu sakit, mungkin baru terasa, impak daripada dipukul,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! 20 Januari lalu melaporkan Paijang telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Pagi Padang Astaka, Chukai pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari lalu.
Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi mangsa dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar pagi terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.- KOSMO! ONLINE