Mencari inspirasi seawal mungkin untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi punca kepada lebih 50 murid sekolah tingkatan 3 dan 4 dari seluruh negara menyertai Misi Straight A+ yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyFundAction baru-baru ini.
Program motivasi semasa cuti sekolah itu yang dibuat secara online selama lebih satu jam bertujuan memberikan semangat kepada kesemua peserta untuk membuat persiapan awal menghadapi ujian terbesar bagi mereka bagi mendapatkan tempat di menara gading.
Apa yang menarik adalah tenaga pembimbing kelas tersebut bukannya dalam kalangan guru sekolah, tetapi 15 pelajar universiti di beberapa buah universiti tempatan di seluruh negara yang membimbing peserta program berkenaan.
Pengarah program Misi Straight A+, Ahmad Akmal Asyraaf Shamsul Azhar, 20, berkata, ini julung kalinya program tersebut dijalankan secara dalam talian kerana tenaga pengajar program itu masih lagi dalam musim pengajian.
“Dalam program ini, kami tidak mengajar spesifik subjek yang mungkin diambil murid ini dalam SPM. Sebaliknya, kami lebih kepada memberikan motivasi kepada peserta untuk menghadapi peperiksaan itu.
“Pada program ini, kami memberikan penekanan bahawa mereka perlu membuat persiapan awal supaya mereka tidak kelam- kabut untuk mengambil peperiksaan berkenaan,” ujarnya.
Dalam kelas pertama kata Ahmad Akmal, tenaga pengajar program Misi memberikan makluman mengenai hala tuju yang boleh dipilih oleh peserta sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
Jelasnya lagi, penerangan tersebut dibuat supaya murid lebih bersemangat untuk mengambil SPM, dengan harapan mereka mendapat keputusan cemerlang bagi membolehkan mereka berpeluang cerah memasuki universiti tempatan yang terbaik.
“Di samping itu, kami memberikan penekanan kepada peserta mengenai pentingnya mereka menjaga hubungan dengan Allah dan ibu bapa. Menjaga hubungan tersebut merupakan salah satu aspek untuk mereka berjaya dalam peperiksaan.
“Sekiranya gagal menjaga hubungan ini, mereka berkemungkinan sukar untuk mendapat keputusan yang baik dalam SPM sekali gus tidak dapat menyambung pengajian di menara gading,” ujarnya.
Selepas program baru-baru ini, pihaknya merancang untuk membuat satu lagi program yang hampir sama bagi menarik lebih ramai murid, dengan harapan dapat memberikan kesedaran bahawa pentingnya mengambil SPM untuk masa hadapan mereka.
Ahmad Akmal berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk pergi ke beberapa sekolah di Lembah Klang untuk memberikan motivasi kepada lebih ramai murid secara bersemuka.
Sementara itu, salah seorang peserta, Muhammad Irfan Muhammad Halim, 15, berkata, dia mengetahui mengenai program tersebut melalui media sosial.
Menurutnya, program berkenaan memberikan impak positif kepadanya, supaya melakukan persediaan awal menghadapi peperiksaan paling besar dalam hidupnya.
“Mendengar apa yang dikatakan oleh mentor tadi membuatkan saya tergerak hati untuk membuat beberapa persiapan awal menghadapi SPM walaupun lagi dua tahun untuk mengambilnya.
“Nanti kalau sekolah buka semula Mac ini, saya mahu pertimbang untuk ambil jurusan Sains kerana peluang untuk masuk universiti lebih cerah berbanding jurusan lain,” kongsi murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra itu.
Seorang lagi peserta, Arif Haikal Ahmad Yusof, 16, berkata, dia akan memperbaiki lagi hubungannya dengan Allah dan ibu bapanya menjelang setahun lagi untuk mengambil SPM.
Ujarnya, dia akan cuba membuat sebanyak mungkin amal kebaikan dengan harapan Allah akan memakbulkan hajatnya bagi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar itu.
“Saya akan cuba berbakti dan mengikut apa yang disuruh ibu dan bapa sebanyak mungkin kerana mentor tadi mengatakan salah satu cara untuk mendapat keberkatan ilmu adalah sentiasa menjaga hubungan dengan orang tua.
“Selain itu, saya akan memperbanyak melakukan ibadah sunat seperti berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, melakukan solat tahajud pada awal pagi dan lain-lain lagi untuk mendekatkan diri dengan Allah,” kata murid SMK Bandar Baru Sungai Long.